PROGRAM PEMBANGUNAN DAN DAKWAH ORANG ASLI (PPDOA)

Bahagian PPDOA adalah sub-unit di bawah Yayasan Al-Khalifah diketuai oleh Dato Dr Hj Abdul Razak Bin Haji Kechik. Bahagian ini bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan dakwah kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

OBJEKTIF

Mengintegrasikan masyarakat peribumi Orang Asli dengan masyarakat majmuk di negara kita

Membantu membina sahsiah diri dengan aktiviti-aktiviti pendidikan, kebajikan, dan socio-ekonomi

Menggalakkan usaha dakwah dan pengembangan fahaman agama di kalangan masyarakat terpinggir

AKTIVITI

Lawatan perkampungan Orang Asli

Lawatan dibuat secara berjadual dan berkala setiap bulan di kampung-kampung Orang Asli seluruh Kelantan, Perak, Pahang, Kedah, Johor dan Selangor dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti rawatan perubatan, jamuan makan, pemberian pakaian terpakai, pemberian bahan makanan, sukaneka, pertanian, ternakan dan sebagainya. Mereka juga dibawa keluar untuk lawatan sambil belajar, rawatan lanjutan di hospital dan kursus di Pusat Latihan Orang Asli Kok Lanas.

yak2
yak3

Ihya’ Ramadhan dan Qurban

Pada bulan Ramadhan, program Ihya’ Ramadhan diadakan di mana sukarelawan-sukarelawan masuk ke perkampungan Orang Asli untuk berpuasa bersama mereka disamping mengadakan iftar bersama dan sembahyang terawih diikuti dengan rumah terbuka selepas hari raya. Barang-barang makanan seperti pulut lemang, daging/ayam dan sebagainya dibekalkan untuk kampung-kampung tertentu bagi membolehkan masyarakat Orang Asli menyambut hari raya. Pada musim hari raya qurban, sembelihan korban diadakan untuk kampung-kampung tertentu.

Pertanian dan Ternakan

Benih pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan getah dibekalkan kepada Orang Asli untuk pertanian mereka. Setakat ini sebanyak 30,000 tunggul anak getah telah dibekalkan kepada Orang Asli di pos Tuel, Kuala Mu, Tohoi, Pasik,dan Simpor.
Ternakan kambing dan ayam diadakan di kampung-kampung yang sesuai. Lima buah kampung telah berjaya mengadakan ternakan kambing sejak lima tahun sudah dan usaha ini telah mendatangkan sedikit sebanyak hasil kepada penduduk.

yak6
yak4

Latihan dan dakwah Orang Asli

Sebuah pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) telah diwujudkan sejak tahun 1995 di perairan KADA KOk Lanas, Kota Bharu untuk melatih orang-orang asli, saudara baru dan remaja dalam bidang keagamaan. Kursus-kursus jangka pendek diadakan dari semasa ke semasa untuk orang-orang Asli yang baru memeluk Islam selama dua minggu dengan matlamat mengenali Islam dan Kursus Kefahaman Islam diadakan setiap tahun untuk tempoh suku tahun. Pelajar-pelajar yang baik akan meneruskan pengajaran di Institut Dakwah Perkim (IDIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Pembangunan

Sebanyak 22 Dewan-dewan Orang Ramai telah didirikan di tempat-tempat yang diperlukan sebagai Pusat Kegiatan Masyarakat dan tempat untuk penginapan bagi rombongan serta pelawat dari luar, secara gotong-royong dengan menggunakan bahan-bahan tempatan. Sebuah ‘mini hydro’ juga telah dibina di Kg. Tuel, Gua Musang bagi membekal elektrik untuk keperluan kilang memproses ubi dan pisang. Bangunan kilang juga dibina. Sebuah masjid juga telah dibina di Kg. Tuel dengan kerjasama Masjid Bangsar, MAIK dan JHAIK.

yak5

Koperasi Belia Islam Kaum Asli Kelantan Berhad (KOBIKA)

Koperasi KOBIKA telah ditubuhkan dan diluluskan pada 28 Januari tahun 2010 dengan matlamat untuk membangunkan orang-orang Asli Islam khususnya di Kelantan. Koperasi ini sedang di dalam proses memohon tanah kerajaan untuk dijadikan ladang.