Program Dekati Orang Asli (PRODOA) Kg Sg Tiang dan Kg Kelewang

DEKATI MEREKA YANG MEMERLUKAN

Program Dekati Orang Asli (PRODOA)
Kg Sg Tiang dan Kg Kelewang
Tasik Banding, Royal Belum
27-29 September 2019

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi yang telah memungkinkan program yang dianjurkan oleh Briged Bakti Malaysia (BBM) Cawangan Negeri Wilayah Persekutuan (BBMWP) ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Misi seramai 65 peserta ini disertai oleh mereka yang berumur dari 5 tahun hingga 73 tahun.

Penyertaan dari pimpinan dan ahli BBM serta bukan ahli dari seluruh semenanjung ini penuh dengan aktiviti yang sangat bermanfaat dan kenangan yang indah, antaranya tercapai tujuan program bagi menyantuni masyarakat Orang Asli, beramah mesra dengan mereka, menyalurkan beberapa bantuan seperti makanan asas dan pelatihan serta memberi kesedaran bagi meningkatkan ekonomi masyarakat ini.

Beberapa komitmen telah dibuat dan akan dilaksanakan oleh pihak BBM untuk warga Orang Asli ini, antaranya memasang pagar di kebun mereka bagi mengelakkan ancaman dirosakkan oleh binatang liar, membekalkan benih tanaman pokok buah-buahan, memberikan gergaji rantai bermotor (chainsaw), jala dan pukat, injin bot, perkakas bertani dan lain-lain barangan asas sebagai usaha mempertingkatkan aktiviti ekonomi mereka. Konsep yang diterapkan oleh BBM ialah “memberi pancing itu lebih baik dari memberi ikan” kepada golongan ini. Aktiviti lain yang dijalankan adalah cara menggosok gigi dan shampoo rambut dengan betul, senamtari, menghias diri, pengajaran asas mengaji dan fardhu ain, tips penjagaan kesihatan yang baik, penanaman pokok secara hidroponik (hydroponic) iaitu penanaman pokok di dalam bekas botol air kitar semula, peta impian atau melakar impian dan lain-lain lagi.

Di samping kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan untuk masyarakat Orang Asli, para peserta juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti berakit di dalam tasik, mandi di tasik dan air terjun, melihat ciptaan Allah dengan segala keindahannya dan lain-lain aktiviti yang bermanfaat. Juga, seperti yang dirancangkan, Ahli Jawatankuasa Pusat BBM dan Yang DiPertua Negeri BBM dapat bermesyuarat dan berbincang sebanyak 3 sesi dengan efektif dan berkesan di dalam houseboat.

Semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta dalam membantu atau gotong-royong menjayakan sesuatu kerja itu berada pada tahap yang tinggi dengan semangat pengorbanan yang baik, seperti mengangkat barang, menyusunatur barang, persediaan memasak, memasak, berkemas, membersihkan kawasan, menyediakan tempat solat berjamaah dan lain-lain lagi. Mereka yang lahir pada bulan Mei – Disember 2019, diraikan dalam satu majlis mengejut ketika malam BBQ diadakan. Malah, peserta turut aktif memberikan pandangan dan buah fikiran dalam slot respon atau soal-jawab ketika sesi tazkirah selepas solat fardhu. Uniknya, arah qiblat bertukar beberapa kali sepanjang trip ini kerana mengikut arah perjalanan houseboat di tasik yang menelusuri bukit-bukau dan gunung-ganang yang berliku di sepanjang perjalanan. Namun, suasana nyaman malam di dalam persekitaran hutan di sekeliling tasik yang gelap gelita ini menatijahkan tidur malam yang lena dengan aman tanpa gangguan nyamuk walaupun ada peserta lelaki yang tidur di dek bahagian tingkat atas tanpa dinding tersebut.

Semoga ukhuwah (persaudaraan) yang terbina atas dasar kasih sayang kerana Allah ini dapat dipereratkan lagi. Mudah-mudahan, ahli-ahli ini dapat meneruskan kerja amal bakti di dalam BBM. Sesungguhnya program kali ini membawa 1,001 kenangan indah kepada para peserta. Kegembiraan jelas terpancar di kalangan ahli-ahli rombongan amal ini di sepanjang program. Syukur kepada Allah, semua itu terhasil apabila para peserta mengambil sikap ringan tangan, berjiwa besar, berlapang dada, berhikmah dalam tindakan dan berfikiran positif bagi menjayakan misi murni ini. Antaranya, tetap bersabar apabila injin houseboat rosak yang menyebabkan perjalanan satu hala yang sepatutnya mengambil masa selama 4 jam bertukar menjadi 9 jam! Banyak hikmah yang tersirat yang dapat diambil pengajaran dari kekurangan tersebut dengan terhasilnya banyak aktiviti tambahan lain yang bermanfaat. Rangkaian telefon yang tidak ada ketika program ini juga merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan interaksi dan keakraban di kalangan para peserta. Syabas!